Jumaat, 21 Jun 2013

Benarlah Cinta Itu Buta - Sains Membuktikannya

"Mengapa kamu memakai cincin perkahwinan kamu di jari yang salah?" "Oh.. kerana aku berkahwin dengan orang yang salah" - Lawak barat

Cinta itu buta, pepatah yang seringkali diucapkan oleh segenap manusia, baik dari para artis, penyajak apatah lagi oleh mereka yang bercinta, setelah sekian lama ianya menjadi misteri, saintis Andreas Bartels dan Semir Zeki dari Wellcome Department of Imaging Neuroscience, University College London membuktikan ungkapan tersebut. Dengan menggunakan sistem imbasan "Functional Magnetic Resonance Imaging" (fMRI), apa yang berlaku di dalam otak manusia akibat "cinta" itu dapat dikaji dan difahami dengan lebih mendalam lagi.

Dengan menggunakan teknik fMRI ini, mereka mendapati kawasan tertentu otak menjadi aktif yang mana ini yang membuatkan cinta memberi kesan yang hebat kepada manusia. Mereka juga mendapati "cinta" juga menyebabkan aktiviti di bahagian tertentu otak terhenti dan menyebabkan kita tidak nampak akan kepincangan atau keburukan pada seseorang yang kita cintai itu, inilah yang dikatakan "buta".


Kertas saintifik mereka itu membuat kajian cinta antara ibu dan anak dan juga antara lelaki dan wanita, kedua-duanya menunjukkan keputusan yang hampir serupa. Baik ibu dan anak mahupun pasangan kekasih, manusia akan menjadi "buta" disebabkan oleh cinta. Menurut pandangan saintis, cinta adalah sesuatu yang "terbina" di dalam diri manusia itu sendiri untuk memastikan manusia terus kekal di muka bumi baik dari segi berkembang biak mahupun untuk menjaga anak-anak tersebut. Bayangkan apa terjadi jika kita serta merta boleh nampak akan kepincangan orang yang dicintai? Maka ramai yang tidak akan berkahwin, si anak pula akan mati kerana si ibu tidak mahu bergelumang dengan kepayahan menjaganya.

Kedua-dua saintis tersebut mengambil data imbasan otak daripada 22 orang ibu yang melihat gambar anak-anak mereka dan juga anak-anak wanita lain yang rapat dengannya. Mereka juga mengambil imbasan otak daripada sukarelawan lain dan mengambil data imbasan otak ketika mereka melihat gambar pasangan, kawan baik dan juga kenalan.

Data daripada imbasan otak itu menunjukkan bahawa, bagi kedua-dua jenis hubungan (ibu anak dan kekasih) bahagian otak yang dikaitkan dengan "mendapat ganjaran" menjadi aktif. Ianya sama juga ketika keadaan kita mendapat ganjaran lain seperti makanan, minuman, mengambil dadah dan juga mendapat ganjaran wang atau duit. Jadi "cinta" itu juga boleh dilabelkan sebagai dadah, cuma ianya dadah semulajadi wujud di dalam diri manusia itu sendiri.

Bahagian otak yang menjadi tidak aktif (switch off) pula adalah kawasan-kawasan tertentu di prefrontal cortex (frontal lobe), yang mana ianya adalah bahagian otak yang membuat penilaian sosial terhadap seseorang itu, apa yang dipanggil "critical sosial assessment". Begitu juga dengan kawasan otak yang ada hubungannya dengan emosi negatif seperti kekasaran, ketakutan dan juga merancang. Dalam erti kata lain, emosi cinta itu bukan sahaja membuatkan manusia itu "buta" dan tidak nampak kekurangan dan kepincangan atau keburukan terhadap insan yang dicintai itu, malah emosi-emosi negatif terhadap pasangan juga tidak wujud disebabkan oleh emosi cinta itu. Akan tetapi apabila emosi cinta itu sudah berkurangan, bahagian otak yang membuat penilaian sosial itu tadi akan menjadi aktif semula.

Terdapat beberapa perbezaan antara kedua-dua hubungan ini antaranya adalah, dalam hubungan kekasih, bahagian otak yang terlibat dalam rangsangan seks juga menjadi aktif, ini tidak didapati dalam imbasan hubungan ibu dan anak. Begitu juga pada bahagian otak yang mengenal pasti reaksi muka (facial expression) juga amat aktif dalam hubungan ibu dan anak. Penulis kertas saintifik itu membuat andaian, kebolehan untuk melihat reaksi perubahan pada muka anak penting untuk ibu mengetahui situasi anak.

Apakah implikasi kajian ini terhadap kehidupan manusia di dunia ini? Adakah si "dia" yang kita cintai itu benar-benar sesuai untuk kita? Bolehkah kita hanya percaya kepada perasaan cinta terhadap seseorang itu jika "cinta" tersebut membuat kita tidak nampak akan kekurangan atau keburukan seseorang yang digilai itu? Jika seseorang itu sedang mabuk bercinta akan tetapi ibu dan bapa tidak merestui atau menghalang perhubungan tersebut, ataupun mungkin ada rakan-rakan yang cuba menasihati agar tidak meneruskan hubungan dengan seseorang itu, ini adalah kerana mereka boleh nampak ketidaksesuaian si "dia", tetapi yang sedang mabuk bercinta tidak nampak dan memarahi ibu bapa dan rakan malah ada yang lari dari rumah kerananya. Ini kes yang kecil, bagaimana pula dengan kes sehingga meninggalkan agama yang sudah tidak menjadi suatu yang menghairankan lagi?

Bagaimana pula dengan cintakan dunia? Cintakan materialisme, harta, rumah kereta dan kesenangan hidup di dunia. Cintakan dunia berkait rapat dengan ganjaran serta merta yang boleh dirasai, dilihat, dipegang dan dialami secara nyata dan ini juga melibatkan bahagian otak yang sama (reward center). Walaupun laporan saintifik ini tidak mengkhusus kepada cintakan materialistik, jika dikaitkan dengan "ganjaran" yang diperoleh daripada nikmat dunia itu maka hipotesis saya, ia juga membuatkan kita tidak nampak akan keburukannya. Disebabkan itu manusia akan menghalalkan apa yang haram jika cintakan dunia itu menyelimuti pemikiran dan emosi mereka dan tidak lagi boleh nampak kerosakan besar yang dialami disebabkan perbuatan mereka itu tadi. Maka tidak hairanlah jika manusia menghalalkan riba apa yang telah Allah haramkan, tidak hairanlah mengapa manusia menghalalkan arak apabila Allah mengharamkannya. Jika dikaitkan kembali dengan cinta terhadap manusia, tidak hairanlah mengapa manusia menghalalkan pergaulan bebas apabila Allah mengharamkannya.

Masalah utama cintakan dunia ini sebenarnya adalah ianya tidak akan pernah cukup, contohnya apabila anda mendapat kereta baru, bukan main hebat menjaganya malah sanggup basuh setiap hari, selepas beberapa minggu komitmen anda mula luntur, tak lama selepas itu model baru pula keluar dijalanan dan anda akan mula befikiran untuk menukar kereta. Bagaimana pula dengan cinta ibu bapa pada zaman ini dengan membiarkan anak dijaga oleh orang lain? Adakah cintakan wang, harta dan pangkat sudah melebihi cintakan si anak sedangkan fitrah wanita itu adalah untuk melahir, menjaga, mengasuh dan mendidik anak dan bukannya untuk bersaing dengan kaum lelaki? (Saya sedar ini soalan sensitif, maka tepuk dada, tanya iman dan aktifkan frontal lobe (otak) anda sebelum memberi komen).

Cintakan dunia juga amat bahaya kerana Allah telah berfirman dalam al-Quran;

"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya."  [Hud 11:15]

Ini bermakna, disebabkan Pemurahnya Allah itu, apa yang kita inginkan boleh sahaja dikecapi jika kita berusaha walaupun tanpa mengira halal dan haram akan tetapi hanya apabila di akhirat kelak baru kita sedar siapa sebenarnya yang rugi.

"Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya Neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir daripada rahmat Allah."  [al-Isra' 17:18]

Jadi apakah benteng kita terhadap "buta" di dunia ini? Jawapannya teramat mudah, cintailah Allah kerana walaupun kita "buta" disebabkan perasaan dan emosi cinta itu, tiada cacat celanya pada Allah, Maha sempurna segalanya, malah selangkah kita rapatkan diri kepada Allah (dengan mencintai Allah) sepuluh langkah Allah SWT akan menghampiri kita, dan ini adalah pendinding kita terhadap segala tipu muslihat di dunia ini. Utamakanlah cinta kepada Allah terlebih dahulu sebelum yang lain, sudah janji Allah itu kebaikan dan kesenangan akan menyusul kemudiannya baik untuk dunia mahupun akhirat.


Sebab itulah juga Nabi berpesan agar memilih agama sebagai kriteria utama untuk memilih pasangan lebih utama berbanding harta dan keturunan kerana itu sebenarnya jaminan keselamatan dunia dan akhirat, akan tetapi berapa ramaikah kita yang benar-benar mengikut pesanan baginda? Mungkin disebabkan itulah banyak terjadinya perceraian apabila pasangan tidak boleh berkompromi selepas berkahwin setelah mula melihat keburukan atau kepincangan pasangan apabila emosi cinta yang sebelumnya itu berkobar-kobar mula menurun (bahagian otak untuk penilaian sosial kembali aktif). Dengan ego baik pada lelaki dan wanita, maka masing-masing membuat haluan tersendiri dan anak menjadi mangsa. Sebab itu niat asal (nawaitu) untuk berkahwin itu amat penting, adakah kerana rupa, harta, kesenangan dunia atau untuk mendapat keredhaan Allah (ibadah)?

Benarlah cinta itu buta, sebab itu ramai yang teraba-raba. Meraba mencari kebahagiaan dengan pelbagai cara tanpa lagi memikirkan hukum halal haramnya, bolehkah kita mengharap kebahagiaan pada manusia jika kita "buta" akan kekurangan pada orang yang dicintai? Bolehkah kita mengharapkan dunia jika ianya tidak akan pernah cukup untuk memenuhi nikmat materialisme itu? Sesungguhnya hanya pada Allah sahajalah kita boleh berharap untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan seterusnya di akhirat. Cintailah Allah kerana dari Dialah kita datang dan kepadaNya kita akan kembali. Jadikanlah suruhan dan larangan-larangan Allah itu sebagai pedoman hidup, bukan memilih apa yang sesuai untuk diri dan menolak dengan apa yang tidak sesuai untuk diri apabila akal pendek manusia tidak boleh melihat tujuan dan kebaikannya.




Jumaat, 14 Jun 2013

Kisah Dua Pulau - Bagaimana Kekayaan Kita Dicuri

Suatu ketika dahulu, jauh di tengah lautan terdapat dua buah pulau yang berjiran. Sebuah bernama Aya dan sebuah lagi bernama Baya. Mereka yang tinggal di pulau Aya dipanggil kaum Ayan, pulau mereka amat subur dan penuh dengan tanaman dan juga buah-buahan tropika. Terdapat banyak air terjun dan sungai yang bukan sahaja memberi mereka sumber air minuman malahan ianya menjadi tumpuan penduduk Aya untuk bersantai dan beriadah bersama keluarga.

Lautan di sekeliling pulau mereka amat bersih dan bebas dari pencemaran, dipenuhi dengan pelbagai hidupan laut yang juga memberi sumber makanan untuk mereka. Pulau Aya juga mempunyai emas dan kaum Ayan terutamanya wanita amat sukakan perhiasan dari emas. Mereka juga menggunakan kepingan-kepingan emas sebagai wang kerana bagi mereka emas adalah sesuatu yang bernilai. Raja Aya memerintah Pulau Aya dan dialah yang mengawal pengeluaran kepingan-kepingan emas tersebut untuk digunakan sebagai wang. Kaum Ayan hidup saling bantu membantu sesama sendiri dan mereka juga tidak mengenakan riba, faedah atau bunga apabila mereka meminjam wang sesama mereka.


Ada kalanya, Aya dilanda ribut dan ombak besar memusnahkan rumah dan harta mereka, akan tetapi dengan segeranya mereka saling tolong menolong membantu membina dan membaiki kerosakan yang berlaku. Jika tiada ribut, hidup mereka adalah sebuah pulau dengan komuniti masyarakat yang aman dan hidup dengan harmoninya.

Dipulau yang sebuah lagi iaitu Baya yang mana penduduk di situ dipanggil kaum Bayan, ia diketuai oleh seorang pemimpin bernama Tuk Bayan, beliau adalah lelaki berumur yang dihormati di kalangan mereka. Pulau Bayan juga adalah pulau yang subur, kaum Bayan rata-ratannya adalah pesawah atau pun penternak lembu, kambing dan juga ayam. Sesetengah mereka amat mahir di dalam bertukang dan membuat pelbagai barang kegunaan. Mereka juga hidup dengan aman dan saling tolong menolong sesama mereka di dalam meneruskan kehidupan.

Kaum Bayan bagaimanapun tidaklah semoden kaum Ayan, mereka hanya bertukar-tukar barang sesama mereka. Mereka sedar yang pulau mereka tidak sehebat pulau Aya yang lebih kaya malah mereka menganggap pulau Ayan lebih canggih daripada pulau mereka sendiri. Mereka merasakan kaum Ayan bernasib baik dan lebih hebat daripada mereka. Sekali sekala mereka juga bertukar barangan dengan kaum Ayan, mereka tidak tahu apa itu konsep wang. Walaubagaimana pun kaum wanita mereka juga sukakan emas terutamanya barang kemas yang dibuat oleh kaum Ayan.

Pada satu hari, dua lelaki asing Gago dan Mago, yang belayar dengan kapal berlabuh di Pulau Aya. Kaum Ayan yang amat peramah dan baik hati itu menyambut kedatangan dua tetamu mereka itu. Gago dan Mago menceritakan kisah pelayaran mereka yang hebat dan ini mengkagumkan kaum Ayan. Mereka juga menunjuk kepada kaum Ayan beberapa wang syiling emas dan wang kertas yang digunakan oleh orang-orang di tempat lain.

Kaum Ayan tidak pernah melihat wang kertas sebelum ini, malahan pada wang kertas itu ada gambar pisang yang juga merupakan buah kegemaran mereka. Gago dan Mago juga menunjukkan kepada mereka mesin pencetak wang kertas, apalagi, ini lantas menarik perhatian kaum Ayan. Mereka amat takjub kerana mereka tidak pernah melihat mesin sebegitu. Kaum Ayan amat meyenangi Gago dan Mago lantas mengajak mereka hidup bersama di pulau itu.

Gago dan Mago kemudiannya meyakinkan kaum Ayan yang sesuatu yang dinamakan bank akan memberi faedah yang amat besar kepada mereka. Gago dan Mago menjelaskan yang bank akan memberikan tempat yang selamat untuk menyimpan wang emas mereka dan pada masa yang sama akan menaik taraf ekonomi dengan membolehkan simpanan itu dipinjamkan kepada orang lain untuk memberi manfaat yang mana jika tidak hanya tersimpan begitu sahaja. Kaum Ayan yang sememangnya suka membantu sesama mereka menganggap itu satu idea yang amat bagus. Gago dan Mago lantas membina sebuah bangunan kecil dengan tempat simpanan selamat dan memulakan operasi bank yang pertama di pulau Aya.

Mereka meraikan penubuhan bank itu dengan meriahnya. Kaum Aya berpusu-pusu menyimpan wang emas mereka di dalam bank Gago dan Mago. Bagi setiap emas yang disimpan kaum Aya akan diberi sekeping kertas bercetak yang mana mereka boleh gunakan untuk menuntut kembali wang emas mereka.

Kaum Aya amat gembira dengan wang kertas mereka, malah pada wang kertas tersebut terdapat gambar pemimpin mereka Raja Aya, yang mana membuatkan Raja Aya juga bangga dengannya.

Sejumlah 100,000 kepingan emas didepositkan oleh kaum Ayan dan sejumlah wang kertas yang sama juga dikeluarkan. Sekarang mereka menggunakan kertas sebagai wang dan mendapati lebih mudah menggunakannya berbanding kepingan emas yang berat sebelum ini. Wang kertas cetakan Gago dan Mago menjadi salah satunya matawang yang digunakan di pulau Aya. Tiada lagi mereka yang menggunakan kepingan emas.

Kaum Ayan amat gembira kerana dengan mudahnya mereka boleh berurusan sesama mereka. Mereka amat percayakan Gago dan Mago kerana setiap kali mereka memulangkan wang kertas tersebut, kepingan emas mereka dikembalikan semula. Gago dan Mago lama kelamaan menjadi orang yang dihormati dan dipuji di dalam masyarakat pulau Aya.

Cerita mengenai wang kertas di pulau Aya sampai ke pengetahuan kaum Bayan dan mereka juga tertarik dengan wang kertas tersebut. Mereka lantas meminta bantuan Gago dan Mago. Dengan tersenyum, Gago dan Mago menyatakan mereka dengan senang hati juga ingin membantu mereka. Mereka kemudian membina bangunan yang sama di pulau Baya untuk digunakan sebagai bank dan Mago menjadi pengurus bank tersebut.

Berbeza dengan pulau Aya, pulau Baya tidak mempunyai emas untuk disimpan oleh kaum Bayan sebagai deposit. Mago menyatakan tidak mengapa, sebaliknya dia akan memberikan 1000 keping wang kertas kepada setiap keluarga di pulau Baya. Disebabkan ada 100 keluarga di Baya maka 100,000 keping wang kertas diedarkan.

Akan tetapi Mago memberi syarat, pada setiap tahun setiap keluarga mesti memulangkan 1100 keping wang tersebut, 10 peratus lebihan tersebut adalah untuk upah perkhidmatan mereka. Kaum Bayan mendapati wang kertas suatu yang ajaib, ia membuatkan urusan perniagaan mereka semakin mudah dan tiada lagi kerenah mencari orang lain yang ingin bertukar barangan dengan mereka. Mereka semakin boleh tumpukan perhatian kepada satu pekerjaan sahaja.

Ekonomi Aya dan Baya semakin berkembang dengan pesatnya, Gago dan Mago membuat keputusan sudah tiba masanya untuk menjalankan tipu muslihat mereka. Gago mendapati pada satu-satu masa, hanya 10% sahaja simpanan emas dituntut oleh kaum Ayan, selebihnya 90% lagi selamat di dalam simpanan. Melihat wang kertas cetakan mereka sudah semakin diterimapakai, mereka mencetak lagi sebanyak 900,000 wang kertas. Gago mengira, jika kaum Ayan datang menuntut kembali wang emas mereka, dengan kadar 10% tuntutan pada satu-satu masa, 100,000 kepingan emas cukup untuk menampung tuntutan itu.

Gago kemudiannya meminjamkan wang kertas yang dicetak itu kepada penduduk Aya yang memerlukannya dengan kadar faedah 15%. Lama kelamaan kaum Ayan mendapati harga barangan mereka semakin meningkat. Mereka tertanya-tanya akan tetapi tiada siapa yang tahu mengapa terjadinya demikian. Sesetengah dari mereka yang meminjam wang dari Gago tidak mampu membayar balik pinjaman walaupun mereka bekerja keras untuk mendapatkan wang yang lebih. Persaingan semakin sengit di dalam perniagaan dan masyarakat menjadi semakin kurang prihatin dan tidak lagi ambil peduli kebajikan sesama mereka seperti sebelum ini.

Kaum Bayan juga mendapati perkara yang sama terjadi kepada mereka, pada mulanya mereka tidak nampak harga barangan yang meningkat, akan tetapi mereka perasan akan perubahan dari segi sikap sesama mereka. Mereka terpaksa lebih bersaing dan semakin kurang prihatin sesama mereka. Walaupun terpaksa bekerja keras dan dengan cuba bersaing, sesetengah mereka tidak mampu membayar balik pinjaman. Mereka tidak berjaya mendapat wang yang cukup untuk dipulangkan kepada bank kepunyaan Mago.

Mago mula merampas harta kepunyaan kaum Bayan yang tidak mampu membayar pinjaman seperti tanah dan juga ternakan seperti lembu dan kambing. Tuk Bayan juga antara mereka yang tidak mampu membayar balik akan tetapi Mago memberi pinjaman semula kepada Tuk Bayan dan juga kepada kaum Bayan yang lain yang mana ini menambah lagi hutang mereka. Tuk Bayan kemudian tidak mampu lagi membayar dan Mago membiayainya lagi dengan lebih banyak hutang yang perlu dibayar. Tuk Bayan mula mengelak dari berjumpa dengan Mago, beliau sungguh malu malah kuasa, keberanian dan kehormatan yang dimilikinya dahulu semakin hilang. Tuk Bayan sebaliknya mendapati Mago menjadi semakin kaya dengan mengambil harta kaumnya. Malah beliau merasakan kuasa, keberanian dan juga kehormatan yang dipunyainya dahulu sekarang beralih kepada Mago.

Selepas beberapa tahun, Gago dan Mago yang dahulunya berlabuh di pantai pulau Aya dengan hanya mesin pencetak, sekarang adalah tuan punya kebanyakan tanah dan harta dikedua-dua pulau Aya dan Baya. Penduduk pulau tersebut sekarang hanya menjadi pekerja dan hidup di dalam kemiskinan. Mereka terpaksa bekerja lebih masa untuk menampung hidup yang semakin sukar. Semakin kurang masa untuk bersama keluarga, rakan-rakan malahan untuk beribadat. Masalah sosial semakin berleluasa, manusia semakin tidak pedulikan manusia yang lain. Tidak dapat dinafikan lagi dengan kemiskinan, penyakit sosial lain seperti kecurian, rompakan, pelacuran juga semakin meningkat. Begitu juga dengan alam sekitar mereka yang dahulunya bersih sekarang sudah tercemar akibat aktiviti penduduk Aya dan Baya sendiri yang terpaksa mengeksploitasi sumber alam untuk membayar hutang-hutang mereka.

Cara hidup mereka sikit demi sedikit berubah kerana Gago dan Mago memperkenalkan budaya "hebat" olahan masyarakat "hebat" dari mana mereka berasal. Inilah penghujung budaya prihatin dan penyayang masyarakat pulau Aya dan Baya yang hidup dengan aman dan prihatin sebelum Gago dan Mago datang dengan mesin pencetak.

Gago dan Mago tidak berhenti di situ, mereka terus menyebarkan pengaruh mereka kepada manusia dan masyarakat lain. Impian utama mereka adalah untuk menjadi raja yang memerintah dunia dengan mewujudkan satu sistem perbankan dengan satu sistem kewangan global.

Kita boleh menganggap, berdasarkan perumpamaan di atas, di bawah sistem kewangan antarabangsa, kejadian yang berlaku di atas adalah apa yang berlaku pada negara-negara membangun di serata dunia termasuklah negara kita Malaysia.

1. Inilah cara bagaimana wang dicipta di bawah sistem perbankan semasa. Jika keperluan simpanan disyaratkan adalah 10% maka dengan simpanan sebanyak 100,000, maka jumlah pinjaman yang boleh diberikan adalah sebanyak 1,000,000.

2. Pinjaman (bercampur dengan bunga/faedah) tidak akan habis dibayar kerana bunga/faedah tersebut tidak wujud dalam bentuk wang. Perhatikan faedah 15% dari 900,000 iaitu 135,000, jadi jumlah yang perlu dibayar adalah 1,035,000 tetapi hanya 1,000,000 wang yang wujud di dalam sistem, maka ketidak bolehan membayar balik memang tersedia di dalam sistem tersebut.

3. Disebabkan wang faedah/bunga yang dikenakan tidak wujud di dalam sistem itu maka persaingan untuk mengaut wang yang sedia ada dalam sistem berlaku, ini dapat dilihat dalam persaingan di dalam perniagaan. Sikap manusia secara keseluruhan juga berubah dan lebih mementingkan diri sendiri.

4. Disebabkan tiada wang yang cukup untuk membayar keseluruhan hutang di dalam sistem, akan terdapat mereka yang tidak dapat membayar hutang (bankrup/harta dirampas/rumah dilelong).

5. Bayangkan jika anda meminjam RM10,000 dari rakan anda, apakah kelakuan anda terhadap rakan anda itu tidak berubah, contohnya apabila terserempak di jalanan? Lebih-lebih lagi apabila tempoh masa pinjaman yang anda persetujui sebelum ini sudah terlewat?




Jumaat, 7 Jun 2013

Sakit Pun Ada Faedah

Hidup ini tidak terlepas daripada dugaan dan ujian, bahkan dugaan dan ujian merupakan Sunnatullah dalam kehidupan. Manusia akan diuji dengan setiap sesuatu, dengan hal-hal yang disenangi dan disukainya mahupun dengan hal-hal yang dibenci dan tidak disukainya. Allah berfirman;

“Setiap yang bernyawa akan merasai kematian. Kami akan mengujimu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.” [al-Anbiyaa’, 21: 35]

Berbagai dugaan, ujian, penderitaan, penyakit, kesulitan dan kesengsaraan mempunyai hikmah dan manfaat yang sangat banyak. Berikut ini adalah beberapa manfaat sakit dan hikmahnya;

1. Menghapuskan dosa dan kesalahan.

Wahai saudaraku yang sedang sakit, penyakitmu itu merupakan sebab diampunkan kesalahan-kesalahan yang pernah engkau lakukan dengan hati, pendengaran, penglihatan, lisan dan dengan seluruh anggota tubuhmu. Kadang-kala penyakit itu juga merupakan hukuman terhadap dosa yang pernah dilakukan seseorang sebagaimana firman Allah;

“Dan apa pun musibah yang menimpamu adalah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (daripada kesalahan-kesalahanmu).” [al-Syuraa, 42: 30]

Hadis-hadis yang menjelaskan pengampunan dosa kerana ditimpa musibah dan penyakit sangat banyak, antaranya Rasulullah bersabda;

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa penyakit atau seumpamanya, melainkan Allah akan menggugurkan dosa-dosanya bersamanya, seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” [HR Bukhari, no. 5660, Muslim, no. 2571 dan lafaz ini daripada Muslim]

Rasulullah juga bersabda;

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah-gulanaan, hingga duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada kesalahan-kesalahannya.” [HR Bukhari, no. 5641]

Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda;

“Sesungguhnya Allah benar-benar akan menguji hamba-Nya dengan penyakit sehingga ia menghapuskan setiap dosa darinya.” [Shahih: HR al-Hakim (1/347-348)]


2. Dicatat berbagai kebaikan dan darjat ditinggikan.

Antara faedah penyakit, jika seseorang bersabar, dia akan diberi pahala dengan dituliskan kebaikan dan darjatnya diangkat. Rasulullah bersabda;

“Tidaklah seorang hamba ditimpa suatu musibah lalu mengucapkan: ‘Sesungguhnya kami milik Allah dan akan kembali kepada-Nya. Ya Allah berilah aku ganjaran dalam musibahku ini, dan berilah ganti kepadaku dengan yang lebih baik daripadanya.’ Melainkan Allah memberi pahala dalam musibahnya itu dan menggantikan untuknya dengan yang lebih baik daripadanya.” [HR Muslim, no. 918]

Selain itu Rasulullah juga bersabda;

“Tidaklah seorang Muslim tertusuk duri atau lebih daripada itu, melainkan ditetapkan baginya dengan sebab itu satu darjat dan dihapuskan pula satu kesalahan darinya.” [HR Muslim, no. 2572]

3. Jalan menuju Syurga.

Syurga tidak dapat diperoleh melainkan dengan sesuatu yang tidak disukai oleh jiwa manusia. Rasulullah bersabda;

“Syurga itu dikelilingi dengan hal-hal yang tidak disukai dan Neraka itu dikelilingi dengan berbagai macam syahwat.” [HR Bukhari, no. 6487, Muslim, no. 2822, 2823, lafaz ini daripada Muslim]

Allah berfirman dalam sebuah hadis qudsi;

“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu melainkan Syurga.” [Hasan: HR Ibn Majah, no. 1597]

Rasulullah juga bersabda;

“Allah Ta’ala berfirman: ‘Tidak ada suatu balasan di sisi-Ku bagi hamba-Ku yang beriman, jika Aku telah mencabut nyawa orang kesayangannya daripada penduduk dunia kemudian dia bersabar di atas kehilangan orang kesayangannya itu, kecuali Syurga.’” [HR Bukhari, no. 6424]

Dalam sebuah hadis yang lain direkodkan Rasulullah bersabda;

“Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung berfirman: ‘Jika Aku menguji hamba-Ku dengan dua hal yang dicintainya (dua belah mata), lalu dia bersabar (dan mengharapkan pahala), maka Aku akan menggantikan kedua-duanya dengan Syurga.’” [HR Bukhari, no. 5653. Kata yang berada dalam kurungan kedua tersebut daripada kitab Sunan Tirmizi, no. 2401]

Wahai saudaraku yang sedang sakit, nash-nash ini menunjukkan secara nyata bahawa musibah, penyakit dan kesedihan merupakan sebab yang dapat membawa ke Syurga. Semoga Allah memasukkan kita semua ke dalam Syurga dengan rahmat-Nya, amin.

4. Menyelamatkan daripada api Neraka.

Rasulullah bersabda;

“Sakit demam itu menjauhkan setiap orang Mukmin daripada api Neraka.” [Shahih: HR al-Bazzar. LihatSilsilah al-Ahaadiis al-Shahihah, no. 1821]

Oleh kerana itu, tidak boleh bagi seorang Mukmin mencaci maki penyakit demam kerana Rasulullah pernah menjenguk orang yang sakit demam lalu baginda berkata: “Tidak ada barakah padanya.” Lalu Rasulullah bersabda;

“Janganlah kamu mencaci maki penyakit demam, kerana sesungguhnya demam itu akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi.” [HR Muslim, no. 2575]

5. Penyakit merupakan nikmat dan anugerah.

Dek kerana dugaan dan ujian itu merupakan nikmat, maka orang-orang soleh gembira sekiranya mendapat dugaan tersebut, tiada bezanya jika mereka mendapat kesenangan. Nabi telah menyebutkan bahawa dugaan para Nabi dan orang-orang soleh adalah penyakit, kemiskinan dan lain-lainnya. Setelah itu baginda bersabda;

“...Dan sesungguhnya salah seorang di antara mereka benar-benar merasa gembira kerana menerima ujian, sebagaimana salah seorang  di antara kalian merasa gembira kerana mendapat kelapangan.”[Shahih: HR Ibn Majah, no. 4024]


Nasihat untuk orang yang ditimpa musibah dan penyakit

1. Ingatlah bahawa musibah, malapetaka, ujian dan penyakit serta apa saja yang terjadi, semuanya telah ditaqdirkan Allah. Allah berfirman;

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia-lah pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman bertawakkal.’” [al-Taubah, 9: 51]

2. Engkau harus tahu bahawa Allah telah memilih suatu penyakit bagimu dan meredhainya, kerana Dia lebih mengetahui kemashlahatanmu berbanding dirimu sendiri. Dia Maha Bijaksana yang meletakkan segala sesuatu pada tempatnya yang sesuai. Maka, musibah yang menimpamu itu merupakan kebijaksanaan sekaligus rahmat daripada Allah.

3. Ingatlah bahawa ujian dan penyakit adalah tanda Allah cinta kepada hamba-Nya. Rasulullah bersabda;

“Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung kepada besarnya ujian. Dan sesungguhnya jika Allah menyukai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang redha, maka baginya keredhaan, dan barang siapa yang murka, maka baginya kemurkaan.” [Hasan: HR al-Tirmizi, no. 2396, Ibn Majah, no. 4031. Lafaz ini daripada al-Tirmizi.]

Rasulullah juga bersabda;

“Barang siapa yang dikehendaki Allah akan kebaikan pada dirinya, maka Dia memberikan ujian kepadanya.”[HR Bukhari, no. 5645]

4. Setiap penyakit pasti ada ubatnya. Rasulullah bersabda;

“Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya.” [HR Bukhari, no. 5678]

Dan Rasulullah juga bersabda;

“Setiap penyakit ada ubatnya, jika suatu ubat itu tepat untuk suatu penyakit, maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah.” [HR Muslim, no. 2204]

Maka, menjadi kewajipan kita untuk ikhtiar dalam mencari ubat dengan usaha yang paling maksimum.

Keutamaan menziarahi orang sakit

Direkodkan daripada Ali bahawa Rasulullah bersabda;

“Apabila seseorang berkunjung (menziarahi) seorang Muslim yang sedang sakit, maka seakan-akan dia berjalan di kebun Syurga, hingga ia duduk. Apabila sudah duduk, maka akan diliputi rahmat Allah. Apabila ia berkunjung pada waktu pagi, maka tujuh puluh ribu malaikat akan berselawat untuknya hingga petang. Apabila ia berkunjung pada waktu petang, maka tujuh puluh ribu malaikat akan berselawat untuknya hingga waktu pagi.” [Shahih: HR al-Tirmizi, no. 969, Ibn Majah, no. 1442. Lafaz ini daripada Ibn Majah.]

Terdapat beberapa doa yang disunnahkan untuk dibaca apabila menziarahi orang sakit. Antaranya;

1. Tidaklah seorang hamba Muslim menziarahi orang sakit yang belum datang ajalnya, lalu dia mengucapkan tujuh kali doa berikut:

أَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيْمَ, رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ, أَنْ يَشْفِيَكَ

“Aku mohon kepada Allah Yang Maha Agung, Rabb ‘Arasy yang agung, agar Dia menyembuhkanmu,”melainkan orang itu akan disembuhkan. [Shahih: HR al-Tirmizi, no. 2083, Abu Daud, no. 3106]

2. Nabi apabila menjenguk orang sakit, baginda juga mengucapkan;

لَا بَأْسَ, طَهُوْرٌ إِنْ شَاءَ اللهُ تَعَالَى

“Tidak mengapa, semoga sakitmu ini membuat dosamu bersih.” [HR Bukhari, no. 5656]

3. Disunnahkan juga membaca doa;

بِسْمِ اللهِ أَرْقِيْكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيْكَ, مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنٍ حَاسِدٍ, اللهُ يَشْفِيْكَ, بِسْمِ اللهِ أَرْقِيْكَ

“Dengan menyebut nama Allah, aku meruqyahmu daripada setiap sesuatu yang menyakitimu, dan daripada kejahatan setiap jiwa atau mata orang yang dengki. Mudah-mudahan Allah menyembuhkanmu. Dengan menyebut nama Allah, aku mengubatimu dengan meruqyahmu.” [HR Muslim, no. 2186]

4. Selain itu, disunnahkan juga membaca doa;

بِسْمِ اللهِ يُبْرِيْكَ, وَ مِنْ كُلِّ دَاءٍ يَشْفِيْكَ, وَ مِنء شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ, وَ شَرِّ كُلِّ ذِيْ عَيْنٍ

“Dengan menyebut nama Allah, mudah-mudahan Dia membebaskan dirimu daripada segala penyakit, mudah-mudahan Dia akan menyembuhkanmu, melindungimu daripada kejahatan orang dengki jika dia dengki dan daripada kejahatan orang yang memiliki mata yang jahat.” [HR Muslim, no. 2185]

5. Atau boleh juga membaca doa berikut;

بِسْمِ اللهِ أَرْقِيْكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيْكَ, مِنْ حَسَدِ حَاسِدٍ, وَ مِنْ كُلِّ عَيْنٍ, اللهُ يَشْفِيْكَ

“Dengan menyebut nama Allah, aku meruqyahmu daripada segala sesuatu yang menyakitimu, dariapada kedengkian orang yang dengki dan daripada kejahatan setiap orang yang mempunyai mata yang jahat. Mudah-mudahan Allah menyembuhkanmu.” [Hasan: HR Ibn Majah, no. 3527]

Selamat mencuba!